Table of contents
- Maksud dan definisi VPN
- Apakah yang dilakukan oleh VPN?
- Faedah VPN: Sebab orang memilih VPN
- Panduan langkah demi langkah tentang cara VPN berfungsi
- Cara menyediakan VPN
- Adakah VPN selamat?
- Pertimbangan utama apabila menggunakan VPN
- Patutkah perniagaan saya menggunakan VPN?
- Apakah kelemahan VPN?
- Dropbox boleh memudahkan akses jauh sebagai alternatif VPN
Dalam era digital hari ini, tatkala aktiviti dalam talian kita sentiasa terdedah kepada pelbagai ancaman dan kebimbangan privasi, kawalan terhadap keselamatan Internet kita adalah penting. Inilah peranan Rangkaian Persendirian Maya (VPN)—alat berkuasa yang memberikan kuasa kepada pengguna untuk menyemak imbas web dengan selamat dan terjamin.
Maksud dan definisi VPN
VPN, atau Rangkaian Persendirian Maya, menyediakan sambungan yang selamat dan disulitkan melalui rangkaian yang kurang selamat, seperti Internet. Teknologi ini membolehkan pengguna jauh mengakses rangkaian persendirian dengan selamat. VPN telah menjadi penyelesaian yang popular untuk perniagaan yang mempunyai pasukan jauh, tetapi adakah VPN pilihan yang terbaik untuk kerjasama dan keselamatan?
Bayangkan anda mencipta terowong peribadi melalui Internet awam yang luas. Laluan yang selamat ini akan melindungi data anda daripada intipan dan memastikan aktiviti dalam talian anda kekal sulit. Rangkaian Persendirian Maya (VPN) mencipta tempat perlindungan digital ini, sekali gus melindungi maklumat anda daripada akses dan penyalahgunaan yang tidak dibenarkan.
Apakah yang dilakukan oleh VPN?
VPN mendakwa menawarkan pelbagai kelebihan bagi pengguna Internet di rumah dan ruang kerja yang sibuk, seperti:
Membenarkan akses jauh
VPN membolehkan anda membuat rangkaian jauh persendirian bagi peranti terpilih yang sesuai untuk pekerja jarak jauh. Ini membolehkan pasukan anda sentiasa berhubung dengan selamat, walaupun jauh berbatu-batu atau terpisah dengan benua.
Keselamatan dipertingkat
Rangkaian Wi-Fi awam, yang biasa didapati di kafe atau stesen kereta api, menimbulkan risiko keselamatan. VPN melindungi data anda dengan mencipta sambungan yang selamat dan disulitkan. Ini bermakna aktiviti dalam talian anda, seperti menyemak imbas, menghantar e-mel atau melakukan perbankan dalam talian, akan dilindungi daripada pemintasan walaupun menggunakan Wi-Fi awam. Kaedah penyulitan lanjutan, seperti AES (Advanced Encryption Standard), menjadikan data anda tidak boleh dibaca oleh individu yang tidak dibenarkan.
Melangkaui penyekat lokasi dan sekatan geoÂ
Disebabkan VPN menyembunyikan lokasi anda dan membenarkan anda memilih pelayan di rantau tertentu, anda boleh melihat kandungan dari mana-mana sahaja. Misalnya, jika anda berada di China dan mahu mengakses akaun media sosial anda, maka anda mungkin mendapati kebanyakan laman ini telah disekat. Walau bagaimanapun, dengan mengkonfigurasi VPN anda untuk memberikan IP yang berpangkalan di AS, Internet anda akan menggambarkan sambungan anda seolah-olah anda berada di Amerika Syarikat.
Tolak pendikitan
Walaupun ini mungkin tidak benar bagi semua VPN dan semua Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP), kadangkala perkhidmatan VPN boleh membantu memintas sekatan lalu lintas rangkaian. Misalnya, jika ISP anda mula mendikit data anda selepas had tertentu, VPN boleh membantu menutup sebahagian daripada aktiviti anda, lantas menjadikan peruntukan data anda bertahan lebih lama. Dengan itu, menggunakan VPN secara umumnya boleh memperlahankan sambungan jalur lebar anda kerana terdapat satu langkah tambahan untuk mengubah semula sambungan anda melalui pelayan VPN. Walau bagaimanapun, ini lazimnya merupakan senario masalah jalur lebar di rumah dan bukan di tempat kerja.
Apakah alamat IP?
Alamat Protokol Internet (IP) ialah sebilangan nombor yang digunakan untuk mengenal pasti peranti anda apabila anda bersambung kepada Internet. Alamat IP berfungsi sebagai pengenalan dan menentukan lokasi anda. Dalam sesetengah kes, ini boleh memberikan manfaat, seperti jika anda sebuah perniagaan yang kecil dan memerlukan laman web dan lokasi anda untuk dilog dengan kukuh bagi pelanggan tempatan. Jika pasukan anda memilih sambungan VPN tetapi anda masih perlu mengekalkan alamat IP anda, terdapat VPN khusus untuk ini.
Sebab utama VPN ingin menyembunyikan alamat IP adalah kerana mereka boleh mendedahkan lokasi anda. Jika penggodam mendapat akses ke alamat IP anda, misalnya, mereka boleh melihat aktiviti dalam talian terkini dan berpotensi menggodam akaun anda. Bukan sekadar penggodam sahaja. Pernahkah anda tertanya tentang bagaimana iklan yang anda lihat dalam saluran media sosial, bagaikan tahu dengan tepat apa yang sedang anda cari? Ini disebabkan ISP anda menjual maklumat tentang aktiviti Internet anda. VPN mencegah hal ini daripada berlaku kerana alamat IP anda disembunyikan.
Faedah VPN: Sebab orang memilih VPN

Salah satu sebab paling kuat untuk menggunakan VPN dalam persekitaran kerja adalah untuk menghubungkan pasukan jarak jauh dengan selamat. Dengan keselamatan dan kebolehcapaian yang lebih tinggi, pasukan anda boleh bekerja dengan lebih cekap.
- Aktiviti dalam talian yang selamat: VPN bermakna anda boleh mempercayai bahawa data anda adalah selamat, walaupun semasa perkongsian fail
- Perlindungan privasi: Dengan menutup alamat IP anda, VPN melindungi identiti dalam talian anda dan menghalang ISP daripada menjejaki tabiat menyemak imbas anda
- Kepercayaan klien: Klien mungkin mengharapkan anda memiliki VPN atau menyediakan perkhidmatan yang sama selamat sebelum mereka menyerahkan apa-apa dokumen
- Rangkaian jauh: VPN membenarkan rangkaian dalaman anda melangkaui pejabat—VPN juga membolehkan pasukan bekerjasama dengan selamat dari lokasi yang berbeza, sekali gus meningkatkan produktiviti dan fleksibiliti
- Menyahsekat kandungan: VPN boleh menyahsekat kandungan yang dihadkan di kawasan tertentu, memberikan akses kepada maklumat dan perkhidmatan global
Panduan langkah demi langkah tentang cara VPN berfungsi
Â
1. Mulakan dan wujudkan sambungan yang selamat kepada VPN
Anda boleh mendapatkan akses VPN dengan menggunakan klien atau aplikasi VPN. Sambungan ini dikenali sebagai "terowong VPN."
2. Sulitkan trafik Internet
Semua trafik Internet anda akan disulitkan dan dihantar melalui terowong VPN. Penyulitan ini akan memastikan bahawa data anda kekal peribadi dan selamat.
3. Pelayan VPN memproses trafik
Pelayan VPN menerima trafik yang disulitkan daripada peranti anda, menyahsulit dan menghantar trafik ke destinasi yang ditujukan (cth, laman web, perkhidmatan dalam talian). Ini akan memastikan bahawa aktiviti dalam talian anda kekal peribadi dan selamat, walaupun anda menggunakan rangkaian Wi-Fi awam.
Dengan menggunakan VPN, anda boleh melindungi privasi dan keselamatan dalam talian anda dengan berkesan. Sebagai permulaan, VPN menyulitkan trafik Internet anda, yang menghalang akses tanpa kebenaran dan aktiviti curi dengar. VPN juga membolehkan anda mengakses laman web dan perkhidmatan dengan selamat dari mana-mana sahaja di dunia.
Cara menyediakan VPN
Penyediaan VPN adalah agak mudah dan biasanya boleh dilakukan dalam beberapa langkah:
- Pilih penyedia perkhidmatan VPN yang bereputasi dan langgan perkhidmatan penyedia itu
- Muat turun dan pasang perisian atau apl VPN pada peranti anda
- Lancarkan apl VPN dan masukkan kelayakan log masuk anda
- Sambungkan kepada pelayan VPN pilihan anda
Setelah disambungkan, trafik Internet anda akan disulitkan dan dihalakan melalui pelayan VPN, memberi anda privasi dan keselamatan dalam talian yang dipertingkat.
Adakah VPN selamat?

Dengan begitu banyak penekanan pada privasi dan keselamatan, mudah untuk kita memikirkan VPN sebagai ves kalis peluru terhadap penggodam Internet. Malangnya, ini tidak benar. Paling selamat pun, VPN boleh memberikan cara yang selamat untuk anda berada dalam talian tanpa berasa risau akan ancaman keselamatan. Walau bagaimanapun, VPN tidak kalis penggodaman . Selain itu, menggunakan VPN untuk menghentikan ISP daripada menjejaki anda tidaklah berkesan sepenuhnya. Banyak kes yang menunjukkan bahawa sesetengah VPN mencatatkan aktiviti anda walaupun VPN mengatakan bahawa tiada catatan dilakukan.
Tahap ini bergantung pada lokasi penyedia VPN itu sendiri kerana penyedian itu perlu mematuhi peraturan yang berbeza. Di Eropah, contohnya, Peraturan Perlindungan Data Umum (GDPR)Â menghalang perkara ini daripada berlaku. Namun, anda tidak seharusnya menganggap VPN anda merupakan pilihan yang sempurna untuk keselamatan dalam talian.
Pertimbangan utama apabila menggunakan VPN
Pertimbangkan perkara berikut semasa memikirkan tentang melengkapkan PC kerja anda atau seluruh pasukan dengan perkhidmatan VPN:
Lokasi VPN
Adakah VPN akan berfungsi di destinasi pilihan anda berdasarkan lokasi pembekal? Misalnya, jika anda mahu mengakses laman yang disekat di lokasi Malaysia, maka anda memerlukan pelayan yang berpangkalan di negara pilihan laman tersebut. Semak sama ada VPN anda mempunyai pelayan di sana atau tidak. Selain itu, VPN akan mematuhi peraturan negara di tempat VPN itu beroperasi dan bukannya tempat pelanggan (akan diterangkan lebih lanjut di bawah).
Jenis VPN
VPN boleh jadi semudah penambahan lanjutan atau seluas seluruh rangkaian VPN korporat. Jika pejabat anda ingin menaik taraf alatan kerjasama, maka anda perlu melihat pilihan korporat.
Kos VPN
Semakin rumit VPN, semakin tinggi kos yang dikenakan. Untuk perkhidmatan VPN korporat, anda memerlukan penyelesaian IT yang dibina secara khusus dan berkemungkinan merupakan pelaburan yang besar.
Sistem pengendalian VPN
Anda perlu memilih perkhidmatan VPN yang serasi dengan sistem pengendalian anda. Misalnya, komputer Linux mungkin memerlukan klien VPN yang berbeza berbanding dengan Microsoft Windows.
Peranti
Jika anda merancang untuk menggunakan VPN pada peranti mudah alih anda seperti telefon atau tablet anda, anda mungkin memerlukan VPN yang berbeza daripada VPN yang dipilih untuk komputer riba anda.
Patutkah perniagaan saya menggunakan VPN?
Terdapat banyak manfaat dalam penggunaan VPN, tetapi jenis yang patut anda gunakan boleh mendatangkan perbezaan antara alat yang hebat atau perbelanjaan yang tidak perlu. Protokol VPN sukar untuk ditewaskan apabila berkenaan dengan melindungi data anda pada peringkat rangkaian, tetapi rangka kerja keselamatan yang bagus terdiri daripada perisian antiperosak yang sesuai dan boleh menawarkan perlindungan yang kukuh bagi peranti anda. VPN korporat memerlukan masa untuk dibina dan dijalankan. VPN korporat juga memerlukan penyelenggaraan dan pakar IT yang khusus untuk VPN terus berfungsi. Bagi kerja jarak jauh dan perkongsian fail yang mudah, Dropbox ialah pilihan yang lebih baik.
Apakah kelemahan VPN?
Terdapat banyak manfaat VPN, walaupun kebanyakan kelebihan ini juga boleh diakses melalui cara alternatif. Misalnya, kerja jarak jauh dapat dijayakan menggunakan perisian atau perkhidmatan lain yang tidak memerlukan banyak penyediaan, penyelenggaraan atau menelan kos tinggi.
Pertimbangkan kekurangan VPN sebelum anda meneruskan:
- Boleh jadi mahal, terutamanya untuk penyediaan korporat
- Memerlukan penyelenggaraan untuk perniagaan
- Rangkaian jauh perlu disediakan pada mulanya oleh pakar IT—Dropbox hanya memerlukan pendaftaran yang ringkas
- Tidak semestinya selamat seperti yang disangka
- Boleh melambatkan kelajuan Internet anda dengan ketara
- Di sesetengah negara, VPN dilihat sebagai perkara yang samar-samar atau haram dari segi undang-undang
Sesetengah jenama telah berusaha untuk menyekat pengguna yang menggunakan VPN. Ini boleh mengakibatkan tanda hitam pada akaun syarikat.
Pada akhirnya, anda harus mempertimbangkan perkara yang benar-benar ingin anda capai dengan VPN. Bolehkah anda bekerjasama secekap anda menggunakan alat seperti Dropbox? Bolehkah anda melayari web secara bebas menggunakan pelayan proksi dalam talian? Bolehkah anda mengekalkan tahap keselamatan yang tinggi dengan atur cara perisian antiperosak dan tembok yang terkini? Jika jawapan kepada mana-mana soalan ini ialah ya, VPN mungkin merupakan penyelesaian rumit yang tidak diperlukan.
Walaupun VPN ialah penyelesaian yang popular dan berkesan untuk meningkatkan privasi dan keselamatan dalam talian, terdapat beberapa alternatif yang menawarkan ciri dan faedah yang berbeza. Setiap alternatif mempunyai ciri unik yang tersendiri dan mungkin lebih sesuai untuk keperluan khusus.
Dropbox boleh memudahkan akses jauh sebagai alternatif VPN
Jika sebab utama anda menggunakan VPN adalah untuk memastikan pasukan anda terus berhubung dari jauh, maka terdapat alternatif yang lebih baik. Sudah tentulah VPN mempunyai kelebihan dalam pelbagai bidang, tetapi jika berkenaan dengan kerja jarak jauh, maka kos dan masa yang diperlukan untuk menyediakan dan menjalankan VPN korporat boleh jadi menggerunkan. Malah, pengguna yang mahir teknologi juga mendapati bahawa proses berbilang langkah untuk bersambung kepada pelayan fail melalui VPN adalah menjengkelkan. Dropbox menyediakan keselamatan fail dan mendayakan akses jauh dengan mendaftar masuk sahaja, lantas menjadikan Dropbox sebagai alternatif VPN yang mudah dan berkesan untuk keperluan ini.
Bersedia untuk meningkatkan keselamatan dalam talian dan kerjasama jauh pasukan anda? Terokai penyelesaian VPN atau ketahui tentang cara Dropbox boleh memudahkan akses jauh yang selamat dengan mudah. Kawal keselamatan Internet anda hari ini dan pastikan produktiviti dan keselamatan pasukan anda. Mulakan sekarang dengan Dropbox dan alami alternatif yang lancar kepada VPN tradisional.
