Mematuhi piawaian dan peraturan


Pensijilan ISO 27001 di Dropbox

Pensijilan ISO

International Organization for Standardization (ISO) telah membangunkan satu siri piawaian bertaraf dunia untuk keselamatan maklumat dan sosial bagi membantu organisasi membangunkan produk dan perkhidmatan yang inovatif dan boleh diharapkan. Dropbox telah mengaudit pusat data, sistem, aplikasi, kakitangan, dan prosesnya melalui satu siri audit oleh pihak ketiga bebas yang berasas di Belanda, EY CertifyPoint.

ISO 27001 (Pengurusan Keselamatan Maklumat)

ISO 27001 diiktiraf sebagai piawaian sistem pengurusan keselamatan maklumat (ISMS) premier di seluruh dunia. Piawaian ini turut mengumpil amalan keselamatan terbaik yang dijelaskan dalam ISO 27002. Untuk layak menerima kepercayaan anda, kami mengurus dan memperbaiki kawalan fizikal, teknikal, dan perundangan kami di Dropbox secara berterusan dan menyeluruh. Juruaudit kami, EY CertifyPoint, mengekalkan akreditasi ISO 27001 mereka daripada Raad voor Accreditatie (Majlis Akreditasi Belanda). Lihat sijil ISO 27001 Dropbox Business dan Dropbox Education.

ISO 27017 (Keselamatan Awan)

ISO 27017 merupakan piawaian antarabangsa untuk keselamatan awan yang menyediakan garis panduan untuk kawalan keselamatan berkenaan dengan peruntukan dan penggunaan perkhidmatan awan. Panduan Tanggungjawab Bersama kami menjelaskan sebahagian daripada kewajipan keselamatan, privasi, dan kepatuhan yang boleh diselesaikan oleh Dropbox bersama-sama para pelanggannya. Lihat sijil ISO 27017 Dropbox Business dan Dropbox Education.

ISO 27018 (Privasi Awan dan Perlindungan Data)

ISO 27018 merupakan piawaian antarabangsa untuk perlindungan privasi dan data yang dikenakan kepada pembekal perkhidmatan awan seperti Dropbox yang memproses maklumat peribadi bagi pihak pelanggan mereka dan menyediakan dasar di mana pelanggan boleh mengemukakan kehendak atau pertanyaan lazim berkenaan kawalan selia dan kontrak. Lihat sijil ISO 27018 Dropbox Business dan Dropbox Education.

ISO 22301 (Pengurusan Kesinambungan Perniagaan)

ISO 22301 merupakan piawaian antarabangsa untuk kesinambungan perniagaan yang membimbing organisasi tentang cara untuk mengurangkan kesan peristiwa kerosakan dan bertindak balas dengan sewajarnya sekiranya ia berlaku dengan meminimumkan potensi kerosakan. Sistem pengurusan kesinambungan Dropbox Business (BCMS) menjadi sebahagian daripada strategi pengurusan risiko keseluruhan kami bagi melindungi kakitangan dan operasi sepanjang berlakunya krisis. Lihat sijil ISO 22301 Dropbox Business dan Dropbox Education.


Pematuhan SOC di Dropbox

Laporan SOC

Laporan Service Organization Controls (SOC), yang dikenali sebagai SOC 1, SOC 2, atau SOC 3, merupakan rangka kerja yang ditubuhkan oleh American Institute of Certified Public Accountants (AICPA) bagi melaporkan tentang kawalan dalaman yang dilaksanakan dalam sesebuah organisasi. Dropbox telah mengesahkan sistem, aplikasi, kakitangan, dan prosesnya melalui satu siri audit oleh pihak ketiga bebas, Ernst & Young LLP.

SOC 3 untuk Keselamatan, Kerahsiaan, Kewibawaan, Ketersediaan, dan Privasi

Laporan jaminan SOC 3 meliputi kesemua lima Prinsip Perkhidmatan Amanah iaitu Keselamatan, Kerahsiaan, Kewibawaan Pemprosesan, Ketersediaan, dan Privasi (TSP Seksyen 100). Laporan penggunaan umum Dropbox merupakan ringkasan eksekutif bagi laporan SOC 2 dan menyertakan pendapat juruaudit pihak ketiga bebas mengenai keberkesanan reka bentuk dan pengendalian kawalan kami. Lihat pemeriksaan SOC 3 Dropbox Business dan Dropbox Education.

SOC 2 untuk Keselamatan, Kerahsiaan, Kewibawaan, Ketersediaan, dan Privasi

Laporan SOC 2 memberi pelanggan tahap jaminan berdasarkan kawalan secara terperinci, meliputi kesemua lima Prinsip Perkhidmatan Amanah iaitu Keselamatan, Kerahsiaan, Kewibawaan Pemprosesan, Ketersediaan, dan Privasi (TSP Seksyen 100). Laporan SOC 2 mengandungi penerangan terperinci mengenai proses Dropbox dan lebih daripada 100 kawalan yang kami ada untuk melindungi fail anda. Selain daripada pendapat juruaudit pihak ketiga bebas kami berkenaan keberkesanan reka bentuk dan pengendalian kawalan kami, laporan ini mengandungi prosedur ujian juruaudit dan keputusan bagi setiap kawalan. Laporan SOC 2 (kadang kala dirujuk sebagai laporan SOC 2+) kami turut mengandungi pemetaan kawalan kami yang diaudit kepada piawaian yang disebut di atas, memberi ketelusan lanjut kepada pelanggan kami. Laporan pemeriksaan SOC 2 untuk Dropbox Business, dan Dropbox Education disediakan atas permintaan melalui pasukan jualan atau pasukan pengurusan akaun..

SOC 1 / SSAE 18 / ISAE 3402 (sebelum ini SSAE 16 atau SAS 70)

Laporan SOC 1 menyediakan jaminan khusus untuk pelanggan yang memutuskan bahawa Dropbox Business atau Dropbox Education adalah elemen utama bagi kawalan dalaman mereka ke atas program pelaporan kewangan (ICFR). Jaminan khusus ini digunakan terutamanya untuk pematuhan Sarbanes-Oxley (SOX) pelanggan kami. Audit pihak ketiga bebas ini dikendalikan mengikut Statement on Standards for Attestation Engagements No. 18 (SSAE 18) dan International Standard on Assurance Engagements No. 3402 (ISAE 3402). Piawaian ini telah menggantikan Statement on Standards for Attestation Engagement No. 16 (SSAE 16) dan Statement on Auditing Standards No. 70 (SAS 70) yang dimansuhkan. Laporan pemeriksaan SOC 1 untuk Dropbox Business dan Dropbox Education disediakan atas permintaan melalui pasukan jualan atau pasukan pengurusan akaun.


Pensijilan CSA Star di Dropbox

Cloud Security Alliance: Security, Trust, and Assurance Registry (CSA STAR)

Security, Trust & Assurance Registry (STAR) oleh CSA merupakan pusat pendaftaran percuma yang boleh diakses oleh orang awam yang menawarkan program jaminan keselamatan untuk perkhidmatan awan, dan dengan itu membantu pengguna menilai kedudukan keselamatan pembekal awan yang sedang digunakan atau mempertimbang untuk digunakan.

Dropbox Business dan Dropbox Education masing-masing telah menerima Pensijilan CSA STAR Tahap 2 dan Perakuan Tahap 2. CSA STAR Tahap 2 mewajibkan penilaian pihak ketiga bebas terhadap kawalan keselamatan kami oleh EY CertifyPoint (untuk Pensijilan) dan Ernst & Young LLP (untuk Perakuan), berdasarkan syarat-syarat ISO 27001, SOC 2 Prinsip Perkhidmatan Amanah, dan CSA Cloud Controls Matrix (CCM) v.3.0.1. Dropbox juga telah melengkapkan Penilaian Kendiri CSA STAR Tahap 1 untuk Dropbox Business dan Dropbox Education. Penilaian Kendiri ini merupakan satu tinjauan rapi berdasarkan Consensus Assessments Initiative Questionnaire (CAIQ) oleh CSA, yang selaras dengan CCM, dan menyediakan jawapan kepada hampir 300 soalan yang mungkin ditanya oleh pelanggan awan atau juruaudit keselamatan awan. Lihat CSA STAR Tahap 1 dan Pensijilan dan Perakuan Tahap 2 kami di laman web CSA


Pensijilan Dropbox HIPAA

HIPAA/HITECH

Dropbox akan menandatangani perjanjian sekutu perniagaan (BAA) dengan pelanggan Dropbox Business atau Dropbox Education yang memerlukannya untuk mematuhi Akta Health Insurance Portability and Accountability (HIPAA) dan Akta Health Information Technology for Economic and Clinical Health (HITECH). Sila lihat panduan “Bermula dengan HIPAA” dan artikel pusat bantuan kami untuk maklumat lebih terperinci.

Dropbox menyediakan laporan jaminan pihak ketiga yang menilai kawalan kami untuk peraturan Keselamatan, Privasi, dan Pemberitahuan Pelanggaran HIPAA/HITECH, serta pemetaan amalan dalaman kami dan cadangan untuk pelanggan yang ingin memenuhi syarat-syarat peraturan Keselamatan dan Privasi HIPAA/HITECH dengan Dropbox Business atau Dropbox Education.

Pelanggan yang berminat untuk meminta dokumen ini boleh menghubungi pasukan pengurusan akaun atau pasukan jualan. Jika anda seorang pentadbir pasukan Dropbox Business atau Dropbox Education semasa, anda boleh menandatangani BAA secara elektronik dari halaman Akaun dalam Konsol Pentadbir.

Perhatian: Keupayaan untuk menandatangani BAA elektronik melalui Konsol Pentadbir hanya tersedia kepada pelanggan di AS yang tidak menggunakan Dropbox Paper. Dropbox tidak menawarkan sokongan HIPAA/HITECH untuk Dropbox Paper.


Laporan BSI C5 Dropbox Jerman

Laporan Perakuan BS1 C5 Jerman

The Cloud Computing Compliance Controls Catalog (C5) merupakan rangka kerja yang ditubuhkan oleh German Federal Office for Security in Information Technology (Bundesamt fur Sicherheit in der Informationstechnik - BSI) untuk melaporkan tentang kawalan keselamatan berkenaan dengan peruntukan perkhidmatan awan. Perakuan C5 ini akan membantu organisasi membuktikan amalan keselamatan maklumat mereka yang selaras dengan “Security Recommendations for Cloud Providers” oleh BSI. C5 ditubuhkan berasaskan piawaian keselamatan antarabangsa sedia ada seperti ISO 27001 dan CSA STAR. Bagi menerima laporan perakuan C5, sistem, proses, dan kawalan Dropbox telah disahkan oleh juruaudit bebas pihak ketiga dari Jerman, Ernst & Young GmbH. Audit bebas ini dijalankan menurut International Standard on Assurance Engagements No. 3000 (ISAE 3000).

Laporan ini mengandungi keterangan terperinci tentang sistem, aplikasi, proses, dan kawalan Dropbox, serta prosedur dan keputusan ujian juruaudit bagi setiap kawalan. Laporan C5 untuk Dropbox Business dan Dropbox Education disediakan atas permintaan melalui pasukan jualan atau pasukan pengurusan akaun.

*Dropbox Paper tidak termasuk dalam skop laporan C5.


EU-U.S. Privacy Shield dan Swiss-U.S. Privacy Shield

Dropbox mematuhi rangka kerja EU-U.S. dan Swiss-U.S. Privacy Shield seperti yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perdagangan Amerika berkenaan dengan pengumpulan, penggunaan, dan pemegangan maklumat peribadi yang dipindahkan dari Kesatuan Eropah, Kawasan Ekonomi Eropah, dan Switzerland ke Amerika Syarikat. Mematuhi Privacy Shield Principles akan memastikan organisasi menyediakan perlindungan privasi yang mencukupi di bawah arahan perlindungan data EU.

Lihat pensijilan Privacy Shield Dropbox dan ketahui lebih lanjut di laman web Privacy Shield.


Peraturan Perlindungan Data Umum EU (GDPR)

The General Data Protection Regulation 2016/679, atau GDPR, merupakan peraturan Kesatuan Eropah yang melambangkan perubahan besar terhadap rangka kerja sedia ada untuk memproses data peribadi individu di EU. GDPR memperkenalkan satu siri syarat baru atau dipertingkat yang akan dikenakan terhadap syarikat-syarikat seperti Dropbox yang mengendalikan data peribadi. Ia akan berkuat kuasa pada 25 Mei 2018 dan akan menggantikan EU Directive 95/46 EC semasa, yang lebih dikenali sebagai Data Protection Directive. Seperti semua syarikat yang bertanggungjawab, Dropbox akan terus membina dan melaksanakan pelan pematuhan GDPR kami yang terperinci dan sedang menuju ke arah pematuhan menyeluruh menjelang 25 Mei 2018. Untuk maklumat lanjut, sila lihat artikel pusat bantuan ini.


Pelajar dan Kanak-Kanak (FERPA dan COPPA)

Dropbox Business dan Dropbox Education membolehkan pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan dengan mematuhi kewajipan vendor yang dikenakan oleh US Family Education Rights and Privacy Act (FERPA). Institusi pendidikan dengan pelajar di bawah umur 13 tahun juga boleh menggunakan Dropbox Business atau Dropbox Education dengan mematuhi Children's Online Privacy Protection Act (COPPA), dengan syarat mereka bersetuju dengan peruntukan kontrak khusus yang mengehendaki institusi itu untuk mendapatkan kebenaran ibu bapa berhubung penggunaan perkhidmatan kami.


UK Digital Marketplace G-Cloud

Dropbox Business tersenarai dalam United Kingdom (UK) Digital Marketplace untuk perolehan perkhidmatan awan kerajaan. Lihat penyenaraian kami di laman web UK Digital Marketplace untuk Pelan Dropbox Business Standard, Pelan Dropbox Business Advanced, dan Pelan Dropbox Enterprise.

*Dropbox Paper tidak termasuk dalam penyenaraian G-Cloud UK Digital Marketplace.


PCI DSS

Dropbox merupakan peniaga yang mematuhi Payment Card Industry Data Security Standard (PCI DSS). Walau bagaimanapun, Dropbox Business, Dropbox Education, dan Dropbox Paper tidak dibina untuk memproses dan menyimpan transaksi kad kredit. Perakuan Attestation of Compliance (AoC) PCI untuk status perdagangan kami disediakan atas permintaan melalui pasukan jualan atau pasukan pengurusan akaun.


Pembekal subperkhidmatan kami

Lokasi bersama pusat data dan pembekal perkhidmatan di bawah pengurusan kami juga menjalani audit SOC 1, SOC 2, dan/atau ISO 27001 dengan kerap untuk mengesahkan amalan keselamatan mereka. Sekurang-kurangnya setiap tahun, Dropbox menyemak keputusan audit-audit ini atau melaksanakan semakan keselamatan vendor jika laporan audit tidak tersedia hasil daripada program pengurusan keselamatan maklumat kami. Sekiranya audit atau semakan ini mempunyai penemuan kukuh di mana kami menentukan terdapat risiko kepada Dropbox atau pelanggan kami, kami akan bekerja dengan pembekal perkhidmatan untuk memahami sebarang potensi kesan terhadap data pelanggan dan menjejak usaha pemulihan mereka sehingga isu itu diselesaikan.


Maklumat lanjut mengenai pematuhan Dropbox Business atau Dropbox Education

Dokumen pematuhan dan pensijilan boleh diminta melalui wakil atau pasukan pengurusan akaun Dropbox.